Rabu, 26 Januari 2011

Tahukah Anda Apa Itu Tanah Lembap?

Posted by Emmymazli at 11:53 PTG
Info Bersama @ Sempena Sambutan Tanah Lembap 2011 - Juz sharing :-)



TANAH LEMBAP

Tanah lembap ialah sejenis kawasan darat yang tanihnya tertepu dengan kelembapan secara berkekalan atau bermusim. Kawasan sebegini juga boleh dilitupi separa atau sepenuhnya oleh takungan air yang cetek.

Antara jenis-jenis tanah lembap termasuk paya, rawang, dan bencah. Air yang ditemui di tanah lembap mungkin berasa masin, tawar, atau payau. Tanah lembap terbesar di dunia ialah Pantanal yang merentangi negara-negara Brazil, Bolivia dan Paraguay di Amerika Selatan.

Tanah lembap dianggap sebagai ekosistem yang paling besar sekali kepelbagaian biologinya. Tanah lembap diperkaya dengan flora seperti pokok bakau, telipuk, mensiang, rusiga, sipres, pokok gam, dan banyak lagi; serta fauna yang terdiri daripada pelbagai spesies amfibia, reptilia, burung, serangga, dan mamalia.

Di pelbagai tempat, seperti United Kingdom, Iraq, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat, tanah lembap menjadi tempat usaha pemuliharaan dan Rancangan Tindakan Biodiversiti.

Tanah lembap juga berfungsi sebagai sistem penulenan air buangan yang semula jadi, misalnya di Kolkata, India dan Arcata, California, AS.

Tanah lembap mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi dan berperanan penting dengan memberikan pelbagai perkhidmatan ekosistem seperti sumber makanan, bekalan air, perlindungan daripada ribut, pengawal banjir, pengawal hakisan, penuras air dan penstabil cuaca tempatan.

Tanah lembap juga membekalkan faedah-faedah ekonomi yang amat besar seperti perikanan, pertanian, penghasilan kayu balak, sumber tenaga, sumber hidupan liar, pengangkutan, rekreasi serta peluang-peluang pelancongan.

Dalam pada itu, salah satu ekosistem tanah lembap ialah ekosistem hutan bakau. Hutan paya bakau mempunyai keunikan pelbagai spesis flora dan fauna di samping membekalkan sumber makanan sama ada kepada hidupan laut, burung dan manusia.

Ianya juga merupakan kawasan yang sesuai bagi pembiakan dan pembesaran hidupan laut seperti ikan, ketam dan udang. Selain itu, pokok bakau adalah pokok yang unik di mana ianya mempunyai akar yang panjang di panggil prop roots, yang terletak di bawah dasar air dapat membantu kestabilan pokok tersebut seterusnya dapat mengelakkan hakisan pantai atau tebing sungai.

Menyedari betapa pentingnya tanah lembab dan paya bakau, Malaysia mempunyai dasar yang jelas untuk melindungi dan memulihara sumber ini. Malaysia telah mengambil segala langkah yang sewajarnya termasuk menyertai RAMSAR Convention pada 10 Disember 1994.

Konvensyen antarabangsa mengenai tanah lembap ini telah ditandatangani di Ramsar, Iran pada 2 Februari 1971 dan mula berkuatkuasa pada 21 Disember 1975. Ianya menyediakan rangka kerja bagi tindakan peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa bagi penggunaan lestari dan pemuliharaan tanah lembap serta sumber-sumbernya.

Setakat ini Konvensyen RAMSAR dianggotai oleh 154 Negara Ahli dengan 1641 kawasan tanah lembap seluas 146 juta hektar yang dikenalpasti untuk disenaraikan sebagai tanah lembap RAMSAR.

Di negara kita, kerajaan sehingga kini telah mewartakan 6 tapak RAMSAR di seluruh negara meliputi keluasan berjumlah lebih 134,000 hektar. Tapak-tapak ini ialah Tasek Bera di Pahang, Kuching Wetlands National Park di Sarawak dan Lower Kinabatangan-Segama Wetlands di Sabah serta tiga lagi di negeri Johor iaitu, di Sungai Pulai, Tanjung Piai dan Pulau Kukup.

Oleh yang demikian, semua pihak hendaklah menghormati tapak-tapak RAMSAR ini dengan memastikan aktiviti pembangunan yang dijalankan tidak menyebabkan kemusnahan atau mengganggu keseimbangan ekosistem di tapak-tapak ini. Penekanan hendaklah diberi kepada langkah-langkah kawalan pencemaran dan hakisan yang ketat.

0 comments:

Catat Ulasan

Komenlah entry saya!! Komen korang yang sememangnye paling best!!

Daisypath Anniversary tickers
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...